KUCHING, 16 Mac – Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadual berlangsung pada Mei ini dengan beberapa perkara masih dalam perbincangan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata terdapat isu yang telah dipersetujui, sebahagian dalam proses perbincangan lanjut, dan beberapa perkara masih belum mencapai kata putus.
Antara isu utama yang masih dalam rundingan ialah tuntutan Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan satu pertiga kerusi Parlimen serta hak berkaitan Pelantar Benua.
“Kita akan berbincang untuk mendapatkan hala tuju, dan mungkin ada keputusan atau memerlukan proses perundangan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Kem Ihya' Ramadhan 2025, di sini.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disertai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Dalam perkembangan lain, Fadillah memaklumkan perbincangan mengenai pengurusan sumber air negara akan diteruskan bersama kerajaan negeri selepas laporan awal dikemukakan dan garis panduan dikeluarkan oleh Perdana Menteri.
Menurutnya, pengurusan air bukan sekadar mengumpul air hujan, tetapi memastikan sumber air digunakan secara lebih cekap dan berkesan.
“Perdana Menteri telah meminta cadangan dikemukakan dalam tempoh dua minggu bagi memastikan pelaksanaan lebih menyeluruh. Kita perlu meneliti aspek teknikal, persekitaran, dan kewangan. Jika kewangan mencukupi, lebih banyak langkah boleh diambil,” ujarnya.
Tambah Fadillah, walaupun Malaysia menerima jumlah hujan yang banyak, kebanyakan air mengalir terus ke laut tanpa dimanfaatkan.
Sehubungan itu, Program Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) diperkenalkan bagi menakung air sebelum dialirkan ke sungai, sekali gus menjadi rizab bagi musim kemarau.
Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembinaan lebih banyak takungan air (reservoir) bagi mengawal aliran air hujan.
Menurutnya, program pengurusan air ini telah berjalan secara berterusan, namun usaha kini sedang diperluaskan.