fb fb fb fb fb

Kerajaan fokus reformasi, cadangan had tempoh PM 10 tahun diteliti

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 16 Mac- Agenda reformasi terus menjadi fokus kerajaan MADANI.

Ini termasuk cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagaimanapun usaha ke arah itu tidak boleh dilaksana secara gopoh dan perlu diperlihat secara teliti.

Ini bagi mengelak sebarang risiko kegagalan.

"Dalam usaha reformasi, ada yang takut. Ada yang merasakan reformasi itu tidak menguntungkan kaum mereka tapi dalam kalangan yang 'proreformasi' ada yang kurang sabar.

Saya nak ajak rakan-rakan gunakan kebijaksanaan semua, revolusi dalam sejarah itu tidak berjaya kalau pimpinannya itu gopoh melaksanakan perubahan. Hasratnya membawa perubahan terlalu laju dan menyebabkan ketegangan berlaku," kata Datuk Seri Anwar.

Beliau berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di IDCC, di sini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan itu bukan alasan untuk melengahkan reformasi, kerana dalam tempoh dua tahun pentadbirannya, pelbagai perubahan telah berjaya dilaksana.

Sementara itu, kerajaan sekali lagi menegaskan komitmennya untuk tidak campur tangan dalam sebarang keputusan badan kehakiman, selaras dengan prinsip kebebasan institusi tersebut.

Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepanjang pentadbirannya, tiada sebarang usaha dilakukan untuk mempengaruhi keputusan kehakiman.

Bagaimanapun, beliau menekankan keperluan kerajaan untuk memastikan sistem semak dan imbang dalam institusi itu berfungsi dengan baik.

Khususnya, dalam proses pelantikan badan kehakiman yang telus dan berintegriti.

Langkah tersebut penting bagi memperkukuh tadbir urus selain, mengelakkan sebarang pengaruh luar.

"Tiada kerajaan sebelum ini yang pernah melakukan demikian. Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak berkompromi dengan prinsip kebebasan badan kehakiman dan tidak campur tangan dalam sebarang kes.

Setiap perubahan itu harus dilakukan dengan cukup berhati-hati yang penting kita mulakan. Kita mulakan jangan campur urusan badan kehakiman dalam membuat keputusan tetapi kita nak pastikan yang dilantik itu cukup wibawa, cukup bebas dan tidak terjerumus dengan berkepentingan perniagaan dan rasuah," tambahnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM