fb fb fb fb fb

Keharmonian etnik di Sarawak, model pupuk perpaduan rakyat

KUALA LUMPUR, 21 September- Keharmonian masyarakat berbilang etnik di Sarawak, boleh menjadi model pemupukan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru rakyat Sarawak memainkan peranan sebagai duta untuk menyebarkan semangat perpaduan dan permuafakatan yang kukuh, tanpa sempadan agama dan budaya.

Kerukunan rakyat Sarawak yang sentiasa teguh mengamalkan nilai-nilai positif seperti saling hormat-menghormati, saling membantu serta rasa persefahaman yang kuat, meskipun berbilang bangsa, budaya dan kepercayaan, boleh dicontohi seluruh masyarakat di negara ini, khususnya di Semenanjung.


(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof)

"Di Sarawak, kalau kita melihat perkumpulan, perhimpunan dalam kalangan anak-anak Sarawak itu sendiri, kita tidak ada perasaan tentang latar belakang masyarakat kita, tetapi kita boleh hidup sebagai satu keluarga. Tidak kira apa latar belakang, tidak kira apa kebudayaan dan kepercayaan kita.

"Diharapkan dengan inilah anak-anak pelajar yang dihantar ke Semenanjung ini, anda adalah duta yang akan membawa suara Sarawak dan akan menyampaikan bagaimana kehidupan rakyat Sarawak yang harmonis untuk kita bawa ke Semenanjung ini", katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara PETRONAS dan Yayasan Sarawak di ibu negara.

"Dengan kita memainkan peranan kita sebagai rakyat Sarawak yang dapat menghidupkan betul-betul semangat sebagai satu keluarga besar negara kita, negara Malaysia", katanya.

Kerjasama ini membabitkan penajaan penuh 40 pelajar menerusi PETRONAS sebagai ambilan baharu di Sekolah Berasrama Penuh di Semenanjung, manakala selebihnya ditaja Yayasan Sarawak, melibatkan pelajar dalam bidang sains dan matematik serta yang berminat disiplin teknikal dan kejuruteraan.

Sejak diperkenal pada tahun 1972, program tersebut berjaya melahirkan pelajar cemerlang dan sebahagian besarnya telah berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing.

Media Baharu