KUALA LUMPUR, 12 September- Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Paris merancang untuk menubuhkan persatuan perniagaan bagi kalangan usahawan Malaysia di negara itu menjelang akhir tahun ini.
Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata selain menjalin hubungan perniagaan, persatuan itu juga dapat membuka peluang baharu di salah satu ekonomi terbesar di Eropah.
Beliau berkata Malaysia dan Perancis mempunyai kekuatan yang saling melengkapi dan berpotensi menjana pelbagai peluang meluas bagi kerjasama perniagaan, khususnya perdagangan dan pelaburan.
“Kerjasama itu bertepatan dalam bidang utama seperti aeroangkasa dan penerbangan, tenaga boleh baharu dan penyelesaian mampan, barangan mewah, produk pengguna, pembangunan infrastruktur selain penjagaan kesihatan dan farmaseutikal,” katanya kepada Bernama menerusi platform khidmat pesanan.
Menjelaskan selanjutnya, Eldeen Husaini berkata persatuan perniagaan itu akan menjadi platform untuk usahawan terbabit memanfaatkan aspek seperti jaringan, sumber dan peluang pertumbuhan, sekali gus membolehkan ahlinya menganjurkan bengkel perniagaan, acara sosial dan seminar berkaitan perdagangan dan pelaburan.
“Berdasarkan data yang dikumpul serta menerusi interaksi saya sendiri, kita terbuka kepada mana-mana usahawan Malaysia di Perancis, sama ada syarikat besar, usahawan kecil dan sederhana serta pemilik restoran.
“Mereka dialu-alukan untuk menyertai persatuan ini yang menghimpunkan semua pihak di bawah satu platform sama,” katanya.
Eldeen Husaini turut mengetengahkan rancangan kedutaan itu untuk turut melibatkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Business France dalam persatuan itu yang dapat membantu dari segi penyelarasan serta impak untuk kalangan ahlinya.
Manfaatkan kepakaran Perancis dalam aeroangkasa, teknologi hijau
Perancis kekal antara 10 rakan dagang utama Malaysia dalam kalangan Kesatuan Eropah (EU) yang turut memaparkan kemajuan hubungan dagangan dua hala dengan blok berkenaan.
Memperincikan bidang utama itu, Eldeen Husaini berkata kepakaran Perancis dapat membantu Malaysia dalam membangunkan industri aeroangkasa, termasuk aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) berikutan kedudukan Paris sebagai peneraju global dalam industri, termasuk kehadiran syarikat seperti Airbus yang bertapak kukuh di Malaysia.
“Malaysia dapat mengimport peralatan dan teknologi pesawat daripada Perancis dan pada masa sama mengeksport komponen serta menyediakan perkhidmatan MRO kepada syarikat-syarikat Perancis,” katanya.
Perancis pula boleh mengeksport panel solar, turbin angin dan teknologi hijau atau lestari lain ke Malaysia manakala Malaysia dapat membekal bahan mentah serta komponen bagi penjanaan tenaga boleh baharu.
Eldeen Husaini berkata kedudukan Perancis yang dikenali dengan pelbagai jenama mewah, juga dapat dimanfaatkan oleh perniagaan Malaysia dari segi pengimportan barangan berkenaan bagi memenuhi permintaan tempatan.
Sebaliknya, sumber semula jadi Malaysia menjadikan negara ini sebagai pembekal yang menarik untuk dimanfaatkan oleh industri kosmetik dan makanan Perancis.
Selain itu, terdapat peluang untuk usaha sama seperti menyediakan penyelesaian pembuatan atau mengeksport sarung tangan perubatan, bahan mentah dan produk berkaitan kesihatan yang lain.
“Perancis yang merupakan peneraju dalam industri farmaseutikal dan penjagaan kesihatan, menawarkan peralatan perubatan yang canggih, farmaseutikal dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Malaysia boleh meraih manfaat daripada kepakaran itu,” katanya.
Kepengerusian ASEAN tarik minat pelabur Eropah
Eldeen Husaini juga mencadangkan agar Malaysia memanfaatkan kepengerusian ASEAN 2025 untuk menarik lebih banyak pelaburan Eropah dan memperkukuh hubungan dengan perniagaan Perancis.
Selain mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-45, Malaysia akan turut menjadi tuan rumah bagi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan mesyuarat berkaitan, sekali gus menyediakan platform untuk memupuk kerjasama ekonomi yang besar dengan kalangan negara dan wilayah luar ASEAN.
Laos menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak ke-44 tahun ini yang mengangkat tema “ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience” (Meningkatkan Kesalinghubungan dan Daya Tahan).
Eldeen Husaini berkata ASEAN juga telah sekian lama menjadi platform utama bagi 10 negara Asia Tenggara berkenaan melonjakkan perdagangan dan pelaburan di samping melindungi kepentingan dan kedaulatan setiap negara anggota.
“Pada masa sama, kita juga mendapati wujudnya peningkatan minat daripada kuasa besar ekonomi dunia seperti China, Amerika Syarikat dan EU,” katanya.
Duta Besar itu berkata peningkatan minat terhadap rantau Indo-Pasifik, termasuk dari Perancis, juga membuktikan EU sedang menghalakan tumpuan kepada pasaran ASEAN.
Tindakan itu merupakan satu langkah yang akan memberikan manfaat kepada rantau ini dari segi perdagangan dan pelaburan serta usaha sama lain seperti keselamatan dan kecerdasan buatan, katanya.
“Atas semua faktor inilah Malaysia perlu memanfaatkan kepengerusian ASEAN untuk memperoleh momentum dalam mempelawa lebih ramai pelabur untuk mewujudkan hubungan Perancis dan membuka syarikat di Malaysia,” katanya.
Pada 2023, Perancis muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam EU dengan perdagangan dua hala bernilai 3.41 bilion euro (satu euro=RM4.77).- BERNAMA