fb fb fb fb fb

Kediaman di Yan, Pokok Sena rosak dilanda ribut

YAN, 28 Mac - Sejumlah 25 buah kediaman di Kampung Tualang, Bukit Besar, di sini, mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda kampung itu petang semalam.

Kejadian yang disertai hujan lebat itu berlaku kira kira pukul 5.30 petang.

Pegawai Pertahanan Awam APM, Leftenan Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata pemantauan masih dilakukan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat lagi kediaman lain yang terlibat dalam kejadian itu.

Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan penduduk yang terlibat.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada sekiranya berlaku hujan lebat dan ribut.

(Antara rumah di Kampung Tualang, Bukit Besar, Yan yang rosak akibat dilanda ribut)

Dalam pada itu,kejadian sama turut berlaku di Pokok Sena,melibatkan tiga buah kampung.

Antaranya Kampung Nawa, Kampung Kuan Buang dan Kampung Kolam.

Pegawai Pertahanan Awam APM Pokok Sena/Kota Setar, Kapten Pertahanan Awam Norlizawati Ismail berkata pemantauan dan jumlah kediaman yang mengalami kerosakan masih dikemas kini.

Selain tingkap rumah pecah, ribut kuat yang melanda selama beberapa minit itu juga menyebabkan bumbung rumah tercabut diterbangkan angin.

Tiada PPS dibuka dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Media Baharu