fb fb fb fb fb

KEDA peruntuk RM674,000 untuk Projek Spike 2023

Pengerusi KEDA, Datuk Seri Jamil Khir (tengah) pada Majlis Peluncuran SPIKE di Desa KEDA Seberang Paya Kerchut, Alor Setar,hari ini.

ALOR SETAR, 14 Januari- - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah memperuntukkan sebanyak RM674,000 untuk Projek Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) bagi tahun lepas.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata peruntukan itu membabitkan pembinaan rumah sampah, pembelian tong roro, pendedahan serta latihan kepada penduduk di 12 Desa KEDA setakat ini.
 
Jelasnya, projek dengan kerjasama Green Resources Sdn Bhd itu memberi peluang kepada warga Desa KEDA untuk mengurus sisa pepejal dengan lebih cekap dan selamat.

“KEDA mengambil tanggungjawab untuk melihat Desa KEDA ke arah global dalam bentuk kebersihan, maka kita buat tong sampah yang khusus, rumah pelupusan sampah yang lengkap dengan roro. Ia bukan tong biasa, roro ni tong besar yang boleh dibawa ke tempat pelupusan dan boleh dihantar balik," katanya.

Jamil Khir berkata demikian pada Majlis Peluncuran SPIKE di Desa KEDA Seberang Paya Kerchut dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff dan Ketua Eksekutif Korporat Green Resources Sdn Bhd,  Muhammad Syafiq Zuki.
 
Jamil Khir berkata lebih 5,000 penduduk luar bandar khususnya di Desa KEDA dianggarkan menerima manfaat daripada projek itu dan pihaknya berharap ia terus mendapat kerjasama penuh daripada penduduk.

“Mereka tak perlu lagi buang sampah di merata-rata tempat seperti di tepi rumah, dalam sungai atau longgok di belakang rumah kerana dengan peluncuran SPIKE, mereka boleh buang sisa sampah ke rumah sampah disediakan. Penyediaan tong roro di rumah sampah juga akan menjadikan pengurusan sisa pepejal lebih cekap," katanya.

Sebanyak 25 Desa KEDA lagi akan terlibat dalam projek tersebut.

ZEHRA BINTI ZAMBRI