fb fb fb fb fb

Akta Parlimen penggal tetap dikaji secara terperinci - Azalina

FOTO HIASAN/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 14 Januari - Kajian terperinci akan dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM berhubung pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

Dapatan kajian akan digunapakai untuk pertimbangan dasar oleh kabinet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan, kajian terperinci itu meliputi penyelidikan impak dan mendapatkan pandangan orang awam.

Sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan turut dilaksana dalam masa terdekat.

Pihaknya menyambut baik cadangan penggubalan akta yang dikemuka Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu.

“Terdapat banyak negara yang mengamalkan Parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.

“Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Zahid dilapor mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Cadangan itu dikemukakan bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD