fb fb fb fb fb

Kecam serangan Israel, Menteri Agama saran buat solat hajat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 1 Oktober- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengecam sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman. 

Beliau menegaskan, ianya perlu dihentikan segera, malah tragedi ini telah menaikkan kemarahan di seluruh dunia.

Justeru, menerusi satu kenyataan, beliau menyarankan agar masjid-masjid utama di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra, Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya untuk melaksanakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan buat semua mangsa tragedi serangan rejim Israel itu. 

Katanya, saranan ini juga turut meliputi masjid, surau Jumaat dan surau seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Beliau berharap dengan usaha ini dapat menzahirkan keprihatinan dan solidariti masyarakat Islam negara ini terhadap keamanan dunia.

ROSLINA BINTI DIN