(Jemaah di Masjid Negara susulan pengumuman kebenaran
rapat saf bermula 1 April 2022/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 1 April- Umat Islam diminta terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 meskipun kerajaan telah memberi kebenaran menunaikan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal atau merapatkan saf di masjid dan surau bermula hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad juga berharap umat islam terus mengamalkan SOP lain yang ditetapkan seperti membawa sejadah sendiri dan pemakaian pelitup muka.
Katanya, umat Islam juga diharap tidak lagi memberikan alasan untuk tidak memenuhi masjid dan surau bagi menunaikan ibadah solat secara berjemaah.
Kelonggaran SOP itu seharusnya menjadi motivasi kepada semua peringkat umur untuk hadir menunaikan solat di Masjid atau surau termasuk solat sunat tarawih berjemaah menjelang 1 Ramadan nanti.
"Mungkin esok lusa kita akan puasa, malam esok mungkin kita akan solat tarawih, kalau dulu kita kata macam macam saf tak boleh rapat.. hari ini tidak ada lasan lagi untuk kita tak pergi bersama-sama. Kita harap juga majlis majlis ilmu yang ada pun kita akan datang untuk kita penuhi di ruang surau dan masjid," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan di sini.
(Jemaah dilihat menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara secara rapat saf susulan pengumuman Malaysia
memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula hari ini/BERNAMA)
Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April 2022.