fb fb fb fb fb

Kebakaran di Jonker Walk: Wanita warga emas maut

MELAKA, 8 Jun - Seorang wanita warga emas maut selepas terperangkap dalam kebakaran di bangunan rumah kedai dua tingkat di Jonker Walk, malam tadi.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam kejadian pada 9.37 malam itu, mangsa, Koo Kim Foong, 75, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat atas premis itu oleh anggota bomba.

Mangsa didapati melecur antara 60 dan 70 peratus di bahagian badan.

“Mangsa (Koo) yang tinggal di premis itu disahkan meninggal dunia selepas pemeriksaan oleh pegawai perubatan. Kebakaran melibatkan dua pintu bangunan rumah kedai jenis sementara dan hampir 80 peratus bangunan tersebut musnah dijilat api," katanya.

Beliau juga memaklumkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dan Padang Temu bersama 23 pegawai serta anggota digegaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit manakala punca kejadian dan jumlah kerugian sedang disiasat.


(Anggota Bomba dan Penyelamat sedang memadamkan api dalam kebakaran yang
memusnahkan rumah kedai  di Jonker Walk/ FB Melaka Hari Ini)

Media Baharu