fb fb fb fb fb

Kebajikan pengamal media akan terus dijaga - Fahmi

Foto RTM

SEBERANG JAYA, 22 Jun- Tiga pengamal media di Pulau Pinang yang diuji dengan masalah kesihatan, menerima bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia susulan peruntukan tambahan sejumlah RM1 juta daripada Perdana Menteri untuk tabung berkenaan, diperluas manfaatnya kepada seluruh pengamal media.

"Kita akan bergerak dengan lebih pantas menyantuni, memahami keadaan serta menyampaikan sumbangan kepada warga media. Saya juga telah minta sewaktu HAWANA agar pihak BERNAMA dan juga gabungan kelab-kelab media Malaysia untuk mengadakan perbincangan serta mewujudkan satu mekanisme dalam mengenal pasti rakan-rakan media yang perlukan bantuan."

Ia bagi membantu mereka mendapat manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA dan berusaha untuk meningkatkan bantuan kebajikan kepada golongan wartawan yang memerlukan," kata Fahmi kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di sebuah restoran di Seberang Jaya.

Penerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di Pulau Pinang ialah Mohamad Amirul yang telah berkhidmat di RTM selama 15 tahun sejak 2009, Chew Sin Chye, 62, Sin Chew Daily, yang menghidap penyakit jantung. 

Turut menerima sumbangan ialah bekas wartawan media dalam talian Alai Oli, Santhiah Arokiasamy, 74, yang menghidap sakit jantung sejak 2005.

Mereka antara 110 rakan media yang telah menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenal pada April tahun lalu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM