fb fb fb fb fb

JAS Kedah siasat kes 40 beg jumbo berisi bahan buangan terjadual

Foto RTM

KULIM, 22 Jun- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan 40 beg jumbo yang disyaki mengandungi bahan buangan terjadual di sebuah kawasan lapang di Jalan Lunas, Kulim, hari ini.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam kenyataan berkata beg itu dikesan pasukan jabatan itu yang menjalankan rondaan mengesan dan mencegah pencemaran pada pukul 10.00 pagi.

Katanya, bahan buangan itu didapati dibungkus menggunakan nama sebuah syarikat terkemuka dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar buangan.

Sampel buangan telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi mengesahkan jenis buangan berkenaan.

"Sekiranya buangan bukan dikategorikan sebagai bukan buangan terjadual, kes akan diserahkan kepada agensi yang mengawal selia sisa pepejal."

"JAS juga akan mengesan pemilik tanah kawasan itu serta memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah Kulim untuk tindakan selanjutnya," kata kenyataan itu.

Tindakan boleh dijalankan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sekiranya membabitkan pembuangan sisa terjadul.

Pemilik tanah juga boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati berlaku pengabaian yang menyebabkan kawasan itu menjadi tapak pelupusan haram buangan terjadual.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM