fb fb fb fb fb

KDN sasar 20,000 Sahabat Kita Demi Negara, jadi ejen penyebar maklumat keselamatan

KUALA LUMPUR, 17 Mac- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan 20,000 orang menyertai Sahabat Kita Demi Negara KDN bagi tempoh enam bulan akan datang sebaik ia dilancarkan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Sahabat Kita Demi Negara berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan serta ejen penyebar maklumat berkaitan keselamatan.

Ia juga bertindak sebagai pemacu kepada pencapaian sasaran kempen 'Kita Demi Negara' iaitu untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

"Setakat ini seramai 500 orang sudah mendaftar sebagai ahli pada hari pertama kempen dilancarkan hari ini.

Dalam usaha menentukan masa depan yang lebih selamat dan harmoni, biarlah kita memahami tanggungjawab bersama, bukanlah semata-mata diberi kepada penguatkuasa atau agensi terlibat untuk mempertahankan negara malah tanggungjawab semua rakyat Malaysia," katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen 'Kita Demi Negara' di sini.


Tambah beliau, mereka yang mendaftar akan menerima pasport keahlian dan boleh memilih untuk menyertai aktiviti dengan mana-mana agensi keselamatan di bawah KDN seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sahabat KDN akan diberi cop pasport sebagai pengesahan untuk menyertai aktiviti berkenaan.

Mereka yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) akan menerima imbuhan ditetapkan.

Media Baharu