fb fb fb fb fb

KDN pertimbang Liberalisasi visa bagi tarik kemasukan pelancong

(FOTO RTM)

BERA, 3 Oktober- Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memudahkan urusan visa bagi kemasukan ke Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara berkenaan bertujuan untuk meningkatkan ekonomi negara melalui aktiviti pelancongan negara.

"Disyorkan kepada KDN oleh Perdana Menteri atas nama program liberisasi visa. Maksudnya memudah cara lagi.

"Bertindak atas syor itu KDN di bawah KSU, Imigresen dan sebagainya telah meneliti kembali perkara tersebut", katanya demikian pada sidang media selepas merasmikan Depot Imigresen Kemayan di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, kementeriannya dijangka akan membawa cadangan program liberalisasi visa ke mesyuarat jemaah menteri yang dijadualkan pada esok.

Katanya, bagi mencapai polisi tersebut urusan pemberian visa  dipermudahkan melalui urusan di pintu masuk iaitu menerusi "on arrival visa", multiple entry visa" serta visa transit umrah.

Namun, penekanan diberikan kepada segmen visa transit umrah iaitu memanjangkan tempoh visa tersebut kepada pelancong umrah dari negara-negara serantau yang menjadikan Malaysia sebagai hub.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) bagi mendapatkan data berkaitan pelarian dalam negara.

"KDN telah bekerjasama dengan UNHCR bagi mengurus hal ehwal pelarian. UNHCR akan daftarkan jumlah pelarian di Malaysia kemudiannya akan mencari negara ketiga agar mereka dihantar ke negara-negar berkenaan", katanya.


( Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/FOTO RTM)

Media Baharu