SEPANG, 30 Oktober- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan beberapa inisiatif baharu termasuk sistem kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasa kawalan dan menjamin kesucian Al-Quran di Malaysia.
Langkah itu bertepatan dan selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
Inisiatif utama yang dilancarkan ialah Sistem Semakan Al-Quran Pintar (iTAQ) berasaskan AI untuk proses semakan yang lebih pantas dan tepat, serta Modul Profesionalisme Panel Semakan Al-Quran (ProQuran) bagi meningkatkan kualiti perunding industri.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah hadir menyempurnakan pelancaran itu pada Majlis Multaqa MADANI pada semalam.
Pada majlis sama, KDN menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) untuk "The Largest Al-Quran Exchange", selepas berjaya menukar ganti 70,000 naskhah Al-Quran tanpa perakuan KDN melalui Program Jom Exchange Al-Qur’an (JEQ).
Datuk Seri Dr. Shamsul turut menyaksikan pelancaran Akaun Amanah Kemajuan Pembangunan dan Pemuliaan Al-Quran bagi mengumpul dana khas untuk usaha pemartabatan kitab suci itu.
KDN turut menegaskan komitmennya di bawah Akta 326 untuk melindungi Al-Quran daripada sebarang elemen pencemaran atau salah guna yang boleh mengganggu keselamatan negara.