fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN sukses, KDN puji kawalan keselamatan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara dari 26 hingga 28 Oktober lepas, berjalan lancar tanpa sebarang insiden keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kejayaan penganjuran itu hasil kesiapsiagaan tinggi agensi keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang sepanjang sidang kemuncak berlangsung.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan polis dan Jabatan Imigresen atas komitmen serta sumbangan signifikan mereka dalam menjayakan tanggungjawab Malaysia selaku tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN.

"Hampir tiada sebarang gangguan keselamatan berlaku ketika negara menjadi tuan rumah kepada 23 ketua negara di sini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Saifuddin memaklumkan seramai 10,492 anggota PDRM dan 3,000 anggota JIM ditugaskan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bagi memastikan keselamatan berada pada tahap tertinggi serta kelancaran di semua pintu masuk negara.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan selama tiga hari yang berakhir Selasa lalu turut melakar beberapa pencapaian penting termasuk penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN dan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja.

Penganjuran kali kelima dan terbesar oleh Malaysia itu menyaksikan kehadiran semua pemimpin ASEAN serta rakan dialog antarabangsa antaranya Presiden Donald Trump (Amerika Syarikat), Perdana Menteri Li Qiang (China), Presiden Luiz Inácio Lula da Silva (Brazil) yang mengetuai kumpulan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), serta Presiden Matamela Cyril Ramaphosa (Afrika Selatan).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM