GEORGE TOWN, 15 Februari - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal membuat kenyataan di parlimen minggu hadapan, berhubung arahan kerajaan bagi mengkaji semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan tersebut bakal menjelaskan hala tuju akta berkenaan berdasarkan perspektif kerajaan, selain penambahbaikan akta bakal mementingkan hak asasi manusia sekali gus memperkukuh keselamatan negara.
"Pertama tentang seksyen-seksyen yang dianggap sebagai barangkali sudah sampai masanya kerajaan teliti semula secara khusus. Misalnya seksyen 13 yang berkaitan bail, ada bailable, unbailable, non-bailable.
"Jadi, semalam jemaah menteri perhalusi aspek mana misalnya SOSMA ini digunakan dalam kes-kes yang bagaimana uruskan jenayah yang tahap ekstrem, tidak terjangkau akal kita. Tetapi berlaku, jadi pada pihak keselamatan SOSMA adalah undang- undang yang sesuai untuk digunakan bagi menghadapi keadaan itu,"kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh, Jelutong.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Semalam, kerajaan telah bersetuju untuk mengkaji semula akta berkaitan SOSMA sekali gus untuk memperbaiki pindaan terhadap beberapa aspek dalam akta tersebut.