(Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail)
KAJANG, 15 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan kertas kerja kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat, mengenai usaha kerajaan untuk membawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan imigresen.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kini KDN dalam peringkat akhir mengumpul data-data mengenai jumlah, umur dan keberadaan kanak-kanak di depot tahanan seluruh negara.
Katanya bagi melengkapkan kertas kerja berkenaan, KDN telah melakukan beberapa libat urus dengan pihak berkepentingan dan pakar antaranya Pengasas MERCY Malaysia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar.
"Buat masa ini terdapat seramai 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan imigresen melibatkan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan.
"Daripada jumlah berkenaan, 351 mendiami depot tahanan bersama penjaga manakala 679 lagi tanpa penjaga," katanya dalam sidang media di program singgah sahur di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, awal pagi ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.
(Datuk Seri Saifuddin pada program singgah sahur di Depot Tahanan Imigresen
Semenyih, awal pagi ini)
Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh seseorang ditahan di depot tahanan imigresen sebelum dihantar pulang adalah bergantung kepada seberapa segera dokumentasi dapat disiapkan oleh negara asal.
"Setakat ini, Indonesia merupakan negara yang paling cepat menyediakan dokumentasi untuk warganya yang ditahan di sini, oleh itu kita dapat lihat warganya paling ramai dihantar pulang," katanya.