fb fb fb fb fb

KD Lekiu sertai empat eksesais di Regional Partnership Exercise 2022

(FOTO FB TLDM)

LUMUT, 24 Ogos - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar Kapal Diraja (KD) Lekiu menyertai Regional Partnership Exercise 2022 melibatkan empat eksesais selama 86 hari bermula semalam hingga 17 November depan.

TLDM dalam satu kenyataan berkata eksesais itu akan membabitkan Eks Malindo Jaya 26/22, Eks Kakadu 2022, Eks Kerismas 2022 dan Eks Malapura 30/22 yang akan dilaksanakan di perairan Laut China Selatan, Indonesia, Australia dan Singapura.

KD Lekiu yang memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) dengan diketuai Pegawai Memerintah, Kepten Mohd Reduan Ayob itu dijadualkan kembali ke TPL pada 17 November depan.

(FOTO FB TLDM)

"Pembabitan KD Lekiu dalam empat siri eksesais secara berterusan ketika pelayaran Regional Partnership Exercise 2022 ini membuktikan ketersediaan dan kebolehoperasian aset pertahanan maritim negara serta profesionalisme warga di tahap yang tertinggi.

"Selain komitmen TLDM ke arah memperkasakan diplomasi pertahanan di peringkat antarabangsa seiring angkatan laut di peringkat global melalui kerjasama serantau," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, eksesais pertama yang akan disertai adalah Eks Malindo Jaya 26/22 di Surabaya, Indonesia yang merupakan eksesais bilateral bagi memperkukuhkan kerjasama serantau Malaysia-Indonesia dalam melaksanakan operasi bersama.

Sebanyak dua aset utama TLDM yang akan terbabit iaitu KD Lekiu dan KD Sri Indera Sakti disamping aset sokongan yang lain.

"Eks KAKADU 2022 pula adalah eksesais multilateral yang membabitkan angkatan laut dari pelbagai negara dengan pembabitan aset yang besar di Darwin, Australia.

"Ia adalah latihan dwitahunan perdana antarabangsa serantau yang dianjurkan oleh Tentera Laut Diraja Australia. Eksesais ini menyediakan peluang penglibatan kepada semua negara sahabat untuk melaksanakan aktiviti maritim secara multinasional meliputi operasi dan peperangan tahap tinggi," katanya.

Seterusnya KD Lekiu akan meneruskan pelayaran dari Darwin ke perairan Laut China Selatan bagi menyertai Eks Kerismas 2022 yang mana ia adalah eksesais berskala besar TLDM yang dianjurkan secara tahunan.

Pada penghujung pelayaran, KD Lekiu akan menyertai satu lagi eksesais bilateral bersama Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) iaitu Eks MALAPURA 30/22 di Changi Naval Base, Singapura.

Media Baharu