(Foto FB Menteri Besar Pahang)
TEMERLOH, 24 Ogos- Kerajaan bakal menambah bilangan Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh Pahang dalam usaha meningkatkan keperluan utama dan keselamatan penduduk tempatan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau, Temerloh menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 28 buah di Pahang.
Ia termasuk sebuah balai di Sungai Lembing di daerah Kuantan yang sedang dibina, manakala beberapa lagi sedang menunggu kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU).
(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/FB MB Pahang)
"Di Pahang ini masih dalam pembinaan iaitu satu di Sungai Lembing dan ada beberapa tempat lagi iaitu di Gohtong Jaya (Bentong), Benta (Lipis) dan Lanchang (Temerloh) yang kini dalam proses mendapat kelulusan, tanah kita sudah kenal pasti cuma kita tunggu selanjutnya daripada EPU", katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau di Kampung Rumpun Makmur, Kerdau, Temerloh, Pahang.
Katanya, pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau merupakan keperluan penduduk setempat. Sebelum ini, penduduk mendapatkan bantuan khidmat daripada balai bomba dan penyelamat dari lokasi sekitar seperti Temerloh dan Jerantut yang berjarak kira-kira 40 kilometer.