fb fb fb fb fb

KBS komited fokus Sarawak majukan sukan negara

KUCHING, 9 Januari- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhasrat menjalin kerjasama erat dengan kerajaan negeri Sarawak untuk pembangunan industri sukan di Malaysia dan Sarawak khususnya.

Hannah menjelaskan antara perkara diberi penekanan adalah aspek perpaduan dalam usaha membangunkan belia dan sukan. Beliau memaklumkan satu perjumpaan secara berkala akan diadakan bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ingin mengenal pasti kekuatan Sarawak dalam bidang sukan terutamanya sukan akuatik. Ia boleh dijadikan sebagai contoh kepada pembangunan sukan akuatik negara secara amnya," katanya kepada media selepas membuat kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini.


(Foto BERNAMA)

Selain itu, beliau juga komited memberi fokus kepada Sabah dan Sarawak khususnya dalam agenda pembangunan belia dan sukan seiring dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Saya akan memberi komitmen meluangkan masa bagi memastikan lawatan dilakukan ke Sabah dan Sarawak untuk sekurang-kurangnya sekali pada setiap bulan bagi memastikan bagaimana kita boleh bekerjasama. Saya merasakan ini seiring dengan semangat MA63 dan kita ingin memastikan semua pihak dapat maju kehadapan secara bersama," katanya.

Hannah yang mengadakan lawatan kerja sehari ke Sarawak juga berkata, akan mengadakan perjumpaan bersama Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di Putrajaya pada bulan depan bagi meneruskan perbincangan berkaitan.

 

Media Baharu