fb fb fb fb fb

Kawasan sekitar Taman Perindustrian Jaya kini dibuka semula

FOTO Ihsan bomba

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Kawasan sekitar Taman Perindustrian Jaya, Ara Damansara, Petaling Jaya, di sini, sudah dibuka semula.

Kawasan itu ditutup kepada orang awam susulan berlaku kebocoran gas amonia di sebuah kilang ais semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, ia dibuka selepas bacaan indeks pencemaran berada pada tahap normal, pada pukul 5.30 petang tadi.

Bagaimanapun pemantauan secara berkala akan terus dijalankan oleh kenderaan pelbagai guna polis daerah Petaling Jaya.

Terdahulu, polis memaklumkan penutupan kawasan yang berkeluasan kira-kira 400 meter persegi itu, ditutup kepada orang awam ekoran bacaan indeks pencemaran melebihi 200 partical per sejuta (ppm) iaitu 240 ppm di dalam kilang dan kawasan sekitarnya kira-kira 200 ppm.

Polis menerima panggilan MERS 999 mengenai kejadian itu kira-kira 10.17 malam tadi dan bergegas ke tempat kejadian yang turut dibantu 27 anggota bomba daripada balai berhampiran.

TETITIA YUSOFF