fb fb fb fb fb

Kawasan perindustrian baharu akan dibangunkan di Bukit Pelandok tahun ini

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun/ BERNAMA

SEREMBAN, 4 Jun- Sebuah kawasan perindustrian baharu seluas 1,200 ekar di Bukit Pelandok, Port Dickson akan dibangunkan pada tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia dijangka menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan tempatan dan asing, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

"Kita akan uruskan dan pastikan kawasan tersebut dapat dimajukan bersama dengan tuan tanah iaitu SD Guthrie. Jadi ini antara yang kita usahakan untuk memastikan bahawa pembangunan Negeri Sembilan dapat kita pecutkan pada tahun ini", katanya.

Tambahnya, perindustrian tersebut melibatkan kilang siap bina serta hartanah komersial yang disesuaikan bagi sektor pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik, logistik serta bioteknologi.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban.

Sementara itu, projek membina laluan baharu dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek, dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada Julai 2026.

Menurut Datuk Seri Aminuddin, jaringan laluan baharu itu mampu menjadi alternatif terhadap sistem penyuraian trafik di daerah Seremban dan Nilai, di samping dapat menyokong meningkatkan pembangunan di sepanjang koridor Malaysia Vision Valley (MVV).

ROSLINA BINTI DIN