KUALA LUMPUR, 9 Mac – Ketegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam memperketat kawalan sempadan Malaysia-Thailand dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh keselamatan awam.
Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim menyifatkan tindakan tersebut mampu menghalang sebarang ancaman yang boleh menjejaskan ketenteraman penduduk sekitar.
“Untuk menjamin keselamatan rakyat, pasukan keselamatan lain, terutamanya tentera dan pegawai perlindungan kawalan sempadan, perlu memainkan peranan mereka. Di Sungai Golok, kawalan ketat harus dipastikan bagi mengelakkan sebarang pencerobohan oleh rakyat atau warga asing tanpa melalui laluan yang sah.
"Kepercayaan juga diberikan kepada pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam memastikan pintu sempadan selamat daripada sebarang ancaman,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan sempadan agar sentiasa berwaspada serta mengelakkan pergerakan tidak perlu di kawasan berisiko tinggi demi keselamatan mereka.