fb fb fb fb fb

Kawalan keselamatan di ESSZONE tidak akan dilonggarkan - Acryl

(FOTO FAIL)

KOTA KINABALU, 31 Mac - Menjangkau 10 tahun penubuhannya, kawalan keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) tidak akan dilonggarkan sama sekali meskipun kawasan berkenaan kini berada dalam keadaan yang selamat dan tenang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata meskipun keadaan terkawal namun pihaknya tidak akan bersikap sambil lewa dan akan terus memperkasa aspek keselamatan di kawasan itu.

(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani)

"Pihak berkuasa akan terus melipatgandakan usaha supaya kita tidak terperangkap dalam keadaan tidak bersiap sedia, itu yang sangat mustahak. Alhamdulillah, apa yang kita alami sekarang ini adalah keadaan tenang dan terkawal.

"Ini tidak bermakna kita boleh melonggarkan langkah-langkah keselamatan yang telah pun kita letakkan sepanjang tempoh 10 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas antara Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah yang bersara wajib kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun yang memangku jawatan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di Kepayan, di sini, semalam.

Penubuhan ESSZONE, yang terletak di kawasan Timur Sabah diumumkan pada 25 Mac 2013 dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang bakal menyambut ulang tahun penubuhan ke-10 pada 1 April ini merupakan agensi bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan itu.

Penubuhan dua entiti penting keselamatan itu dibuat bagi meningkatkan tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah terutama selepas pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013 yang menyaksikan 10 anggota keselamatan negara terkorban manakala 68 pengganas ditembak mati.

Media Baharu