fb fb fb fb fb

Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti ditubuhkan

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Bagi memupuk persaingan parti politik yang lebih sihat dan produktif, Parlimen Malaysia hari ini menubuhkan Kaukus Parlimen Demokrasi Pelbagai Parti.

Perkara itu diumumkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu sidang media di Parlimen.

Menurut beliau, ia akan dianggotai 12 ahli parlimen daripada pelbagai parti politik.

Penubuhan kaukus tersebut juga telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat melalui surat rasmi bertarikh 18 Julai.

"Objektif Kaukus ini adalah bagi menggalakkan dialog, penglibatan dan penyertaan rentas parti di Parlimen untuk isu-isu reformasi institusi terutamanya Dewan Rakyat dan untuk memudahkan penyertaan orang awam dalam proses parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengumumkan penubuhan kaukus tersebut di bangunan Parlimen.


(Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said)

Selain Azalina, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah turut dilantik sebagai konvener bersama untuk kaukus tersebut.

Antara isu yang diberi tumpuan, termasuklah menggerakkan usaha untuk menyemak Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi
menambahbaik operasi parlimen, memperkasa Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen serta mengadakan perbincangan atau pendengaran bersama pihak berkepentingan.

Media Baharu