KUANTAN, 20 September- Prinsip Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) perlu dijayakan dalam memastikan keselamatan,kedaulatan dan keamanan negara.
Justeru, Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) menjadi medan ATM mendedahkan peranan masyarakat terhadap aspek keselamatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pendekatan itu selaras dengan aspirasi Kertas Putih Pertahanan yang menekankan bahawa keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kerajaan dan masyarakat.
"CIMIC merupakan satu usaha penting bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap aspek keselamatan negara, di samping mempersiapkan mereka untuk memainkan peranan dalam menyumbang kepada keselamatan negara," kata Datuk Seri Mohammed Khaled, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival CIMIC 2025 sempena sambutan Hari ATM ke-92 di Pangkalan Udara Kuantan, di sini.
Tambahnya, cabaran baharu kini bukan sahaja melibatkan ancaman tradisional seperti komunis, sebaliknya wujud elemen baharu termasuk serangan siber, pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan serta teknologi baharu seperti dron dan alat komunikasi canggih.
Masyarakat juga diminta tidak membebankan tugas-tugas anggota tentera dengan melakukan kacau-bilau di sesuatu kawasan.
Dalam pada itu, ATM menyasarkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung sempena Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) 2025 di Pangkalan Udara Kuantan yang berlangsung selama dua hari sehingga esok.