fb fb fb fb fb

Karnival Agro MADANI, FAMA sasar jualan RM2 juta

Program yang berlangsung sehingga Ahad itu dijangka menerima kunjungan 10,000 orang.

JOHOR BAHRU, 28 Jun-Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan sebanyak RM2 juta dalam penganjuran Karnival Agro MADANI, tahun ini.

Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, jualan itu membabitkan enam penganjuran program di enam negeri, terdiri Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Kedah.

Jualan Agro MADANI yang sedang berlansung di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Johor Bahru ketika ini turut mencapai sasaran jualan RM200,000.

"Orang ramai boleh dapatkan produk-produk segar dan harga yang berpatutan di sini.

"Kita dapat lakukan ini hasil kerjasama pengusaha-pengusaha itu sendiri apabila kita buat program dan kehadiran juga meningkat, jadi mereka sanggup untuk menurunkan harga jualan.

"Kita selitkan sedikit daya tarikan program untuk tingkatkan kehadiran pengunjung.

"Jadi sebab itu pembekal sedia turunkan harga...kita juga boleh teruskan beberapa lagi program," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Karnival Agro MADANI di Johor Bahru di sini.

Jelasnya, karnival tersebut menawarkan harga barangan 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Program yang berlangsung sehingga Ahad itu dijangka menerima kunjungan 10,000 orang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM