KUALA LUMPUR, 25 April - Kapasiti efektif dua empangan di Pulau Pinang telah menyusut sejak 1 Januari lalu.
Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, masing-masing mencatatkan pengurangan kapasiti efektif 37.7-peratus dan 15.4-peratus.
Ini susulan kadar hujan yang rendah di kawasan tadahan air, selain permintaan bekalan tinggi di negeri itu.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sendirian Berhad (PBA) menyatakan, kapasiti efektif Empangan Air Hitam yang dicatat semalam ialah 44.8-peratus.
"Pada 1 Januari lalu, kapasitinya, 82.5-peratus. Empangan Teluk Bahang catat kapasiti efektif 48.6-peratus, berbanding 64-peratus, bagi tempoh sama," kata PBA.
Penduduk negeri digesa laksana langkah jimatkan penggunaan air.
Setakat Februari 2023, penggunaan air domestik di Pulau Pinang meningkat kepada 994 juta liter sehari berbanding 868-juta liter sehari, sepanjang tahun lalu.
Sebagai mendorong hujan lebat di kawasan tadahan air dua empangan berkenaan, operasi pembenihan awan akan dilaksana di seluruh Pulau Pinang.
(FOTO FAIL)
MET Malaysia mengesyorkan fasa pertama operasi dijalankan sembilan hari mulai Sabtu ini oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Peruntukan sebanyak RM400,000 disediakan kerajaan negeri bagi tujuan itu dan PBA turut berterima kasih kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atas bantuan memudahkan operasi pembenihan awan.