KUALA LUMPUR, 2 September - Kapal yang membawa sukarelawan Sumud Nusantara dari Malaysia dalam Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan terpaksa berhenti seketika berikutan keadaan cuaca kurang baik.
Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri yang turut berada di atas kapal, berkongsi perkara itu menerusi video di laman media sosial.
Beliau menegaskan bahawa meskipun misi tersebut melibatkan pelayaran ke kawasan konflik berisiko tinggi, keutamaan mereka tetap tertumpu kepada nasib rakyat Palestin yang sedang menderita akibat kepungan israel, bukannya keselamatan diri sendiri.
“Kini, kami telah mula bergerak semula. Apa yang ingin kami tekankan di sini ialah kami sedang menuju ke Gaza, sebuah kawasan zon perang yang penuh dengan bahaya dan ketidakpastian. Namun, apa yang lebih penting sekarang bukanlah mengenai diri kami, tetapi usaha untuk membawa lebih banyak cerita tentang Gaza agar dunia mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di sana,” katanya.
Sebelum ini, seramai 15 wakil dari Malaysia telah menyertai konvoi laut antarabangsa yang melibatkan lebih 1,000 peserta dari 44 negara.
Fasa seterusnya, 15 orang delegasi Malaysia kumpulan kedua akan berlepas dari pelabuhan Itali bersama delegasi antarabangsa pada 4 September ini, serentak dengan kumpulan ketiga Malaysia yang kini berada di Tunisia.