KUALA LUMPUR, 1 April- Berkonsepkan berita ringkas dan padat, Kanta 744 yang bersiaran selama 15 minit setiap hari menjanjikan pengalaman baharu kepada penonton.
Buletin mini yang bersiaran tepat pukul 7.44 malam sebelum Berita Perdana itu, mengetengahkan 'look and feel' baharu untuk menarik lebih ramai penonton terutama dalam kalangan generasi muda.
Menurut penerbit, Mohd Yunus Mohd Nor,walaupun hanya 12 saat diperuntukkan untuk setiap berita, namun Kanta 744 merangkumi semua segmen termasuk nasional, semasa, ekonomi, dunia, sukan, hiburan dan lain-lain.
"Kanta 744 merupakan buletin yang padat dan ringkas, kita ada tajuk-tajuk utama dan berita biasa termasuk ekonomi dan dunia.
Jadi kalau kita tonton Kanta 744 umpama dah tonton keseluruhan berita untuk hari tersebut dan untuk berita lebih komprehensif pula, penonton boleh terus kekal untuk menyaksikan Berita Perdana pada pukul 8.00 malam," katanya di sini.
Sementara itu menurut seorang lagi penerbit Kanta 744, Khairul Azli Rahim, tujuan utama format baharu itu diketengahkan adalah untuk menarik lebih ramai penonton menyaksikan siaran berita RTM.
"Kadang-kadang penonton ini mereka tiada masa untuk menonton berita yang agak lama, jadi kami ketengahkan Kanta 744.
Walaupun ringkas, namun ia padat dan menyeluruh dalam tempoh 15 minit itu," ujarnya.
Bagi penyampai, Syairul Islam Basmullah, 24, Kanta 744 menjadi medium mematangkan cara dan gaya penyampaiannya.
"Sebenarnya Kanta 744 ini saya sampaikan secara lebih bertenaga dengan temponya yang agak laju dan beritanya berturut-turut.
Jadi, saya perlu mahir untuk mencuri nafas supaya tidak kelihatan termengah-mengah ketika menyampaikan berita, pada masa sama perlu berhati-hati supaya tidak tersasul," katanya.
(Syairul Islam Basmullah, Penyampai Kanta 744)
Tambah Syairul, format Kanta 744 yang lebih segar itu juga berjaya menarik lebih ramai penonton dalam kalangan generasi muda.
Selain Syairul, Kanta 744 turut menampilkan Faiz Syahirah Nizam, Azamuddin Hussain dan Nurul Hidayah Nawai selaku penyampai.