fb fb fb fb fb

Kandungan negatif: Penyedia platform diminta pastikan algoritma lebih telus

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Kementerian Komunikasi kini mempergiat kerjasama dengan platform dalam talian seperti YouTube dan TikTok bagi membendung penyebaran kandungan berbahaya serta fenomena ‘Brain Rot’, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata sesi libat urus dengan penyedia platform diadakan secara berterusan bagi memastikan sistem algoritma lebih telus dan selaras dengan peraturan tempatan.

"Antara langkah kawal selia yang sedang dilaksanakan ialah memastikan algoritma platform digital tidak mendedahkan pengguna kepada kandungan negatif atau memudaratkan kognitif," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 Julai 2025, sebanyak 1,443 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak telah diturunkan oleh penyedia platform digital kerana melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta garis panduan komuniti platform berkenaan.

Dalam masa sama, kerajaan mengakui wujud cabaran besar dalam penguatkuasaan larangan umur, terutamanya terhadap kanak-kanak bawah umur 13 tahun yang menggunakan media sosial secara aktif.

"Kementerian kini sedang meneliti mekanisme penguatkuasaan lebih ketat terhadap larangan umur ini," tambah beliau.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI