fb fb fb fb fb

EU puji Malaysia mudahkan usaha damai Thailand-Kemboja

Malaysia menjadi pemudah cara dalam usaha penyelesaian konflik Thailand-Kemboja - Foto JPM

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila berjaya memudahcara perjanjian gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.

Penghargaan itu disuarakan Wakil Tinggi Kesatuan Eropah bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan, Kaja Kallas yang menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian besar, sekali gus memuji peranan Malaysia dalam proses rundingan damai.

2907 NSL EU PUJI MALAYSIA GENCATAN 3Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata selepas mengadakan mesyuarat khas di Putrajaya, semalam - Foto JPM

Menerusi kenyataan di platform media sosial, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysia atas usaha diplomatik yang digerakkan bagi memudahkan proses rundingan selain menyifatkan sumbangan Malaysia sebagai penting dan signifikan dalam mencapai penyelesaian damai.

Kejayaan ini sekali lagi mengangkat imej Malaysia sebagai pemain utama dalam diplomasi serantau dan membuktikan kemampuan ASEAN menangani isu keselamatan secara kolektif dan berkesan.

Dalam pada itu, Kaja turut menegaskan adalah penting bagi Thailand dan Kemboja melaksanakan perjanjian secara ikhlas demi memastikan keamanan serantau dapat dikekalkan.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK