fb fb fb fb fb

AKPK berjaya bantu peminjam pulih kewangan

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Lebih 64,000 peminjam berjaya melunaskan pinjaman mereka sepenuhnya melalui Program Pengurusan Kredit yang dilaksanakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Manakala, hampir 270,000 peserta lagi masih aktif menjalani proses pemulihan kewangan di bawah program yang sama.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata AKPK memainkan peranan penting dalam menyediakan khidmat nasihat kewangan dan penstrukturan semula pembiayaan hutang, khususnya kepada pengguna kredit yang berdepan kesukaran kewangan.

"Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif berterusan untuk membantu golongan ini," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan turut mengambil maklum peningkatan trend penggunaan "Buy Now Pay Later" (BNPL) dalam kalangan rakyat.

Sebagai langkah perlindungan, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) pada bulan ini, yang akan memperkukuh hak pengguna dalam ekosistem kredit.

Tambah Lim, kerajaan melalui BNM juga akan terus meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi pelbagai inisiatif di bawah Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).

"FEN bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengurusan kewangan berhemat serta membantu mereka membuat keputusan kewangan yang lebih bijak," jelasnya.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI