fb fb fb fb fb

Kandungan 3R: 1,454 laporan diterima MCMC setakat 31 Mac 2024

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching

KULAI, 7 April- Sebanyak 1,454 aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan kandungan berunsur kaum, agama dan institusi diraja (3R) di media sosial, sehingga 31 Mac lalu.

Statistik tertinggi direkodkan menerusi Facebook dengan 731 kes, diikuti TikTok (705), X (9), Youtube (5) serta Instagram (4).

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, angka itu menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan, berbanding keseluruhan 1, 633 laporan yang diterima tahun lalu.

"Jadi sebagai seorang pengguna internet, seorang warga Malaysia, biarlah kita jangan terlalu senang terpengaruh oleh kandungan ucapan kebencian seperti itu dan saya percaya bahawa pihak polis juga akan jalankan siasatan mereka untuk pastikan bahawa isu-isu ini terkawal, tetapi saya rasa sebagai pengguna internet biarlah kita faham dan ada kesedaran terhadap isu ini supaya kita jangan terlalu mudah dipengaruhi," katanya.

Teo ditemui pemberita selepas membuat lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sawit di sini, hari ini.

Sepanjang tahun lalu, lebih 1,600 kandungan berunsur 3R dipadam penyelia platform media sosial dengan kerjasama MCMC.

ZEHRA BINTI ZAMBRI