Kanak-kanak rentung dalam kebakaran di Sri Aman

FOTO JBPM SRI AMAN

SRI AMAN, 7 Mac – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas ditemui rentung dalam kebakaran rumah dua di Taman Sentosa Indah, Lorong 1, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima pada pukul 3.02 pagi; anggota BBP Sri Aman dikejarkan ke lokasi.
  • Mayat kanak-kanak ditemukan rentung di tingkat atas dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
  • Lima lagi penghuni cedera; datuk dan anaknya melecur hampir keseluruhan badan.
  • Sembilan anggota bersama dua jentera terlibat; api dipadam sepenuhnya pada pukul 5.35 pagi. Punca kebakaran dalam siasatan.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman, Andrew Vengitasamy berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.02 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa dikenali sebagai Ahmad Arfan Syah, yang merupakan antara enam penghuni rumah terbabit.

“Mayat kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang rentung itu ditemukan di tingkat atas rumah berkenaan selepas api berjaya dikawal oleh pasukan penyelamat”, ujarnya ketika dihubungi RTM

Dalam kejadian itu, datuk mangsa, Abang Mohd Sanwani Abang Hj Amin, 65, melecur pada hampir keseluruhan badan.

Turut mengalami kecederaan parah ialah anaknya, Dayang Khairulnisa Abang Mohd Sanwani, 41, yang juga melecur hampir keseluruhan badan.

Seorang lagi penghuni rumah, Dayang Siti Mahfuzah Abang Mohd Sanwani, 40, dilaporkan melecur pada bahagian kaki.

Sementara itu, dua lagi mangsa iaitu Ahmed Alif Firdaus Jaidi, 15, dan Anis Natrah Jaidi, 13, turut melecur pada bahagian kaki.

Mayat kanak-kanak yang maut ditemui di tingkat atas rumah tersebut sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Seramai sembilan anggota bersama dua jentera penyelamat terlibat dalam operasi tersebut sehingga api dipadam sepenuhnya pada pukul 5.35 pagi.

Manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.