fb fb fb fb fb

Kanak-kanak perempuan maut terjatuh dari tingkat 29

Foto fail

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 29 kediaman pengasuhnya di sebuah kondominium di Puchong di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintenden Mohd Fairus Jaafar dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 12.30 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan menemukan mangsa dalam keadaan terlentang di atas lantai tingkat lima bangunan tersebut dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Mohd Fairus berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat tingkap bilik sebelum terjatuh, dan tingkap tersebut tidak dipasang jeriji keselamatan.

Beliau berkata setakat ini, tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kejadian itu, dan polis telah mengambil keterangan daripada pengasuh untuk membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian, ibu mangsa sedang menjaga seorang lagi anak yang menjalani kuarantin di rumah mereka, manakala bapa kanak-kanak berkenaan tiada di rumah kerana bekerja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

TETITIA YUSOFF