fb fb fb fb fb

Kanak-kanak lelaki maut, selepas ditemui pengsan

JOHOR BAHRU, 27 Disember - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail di sini pukul 6.40 petang semalam, selepas ditemui pengsan dirumahnya di Batu Pahat pada 23 Disember lalu.

Susulan kejadian itu, lima individu termasuk kakak kandung mangsa, 19 tahun direman bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam kenyataannya berkata, semua suspek ditahan sejak 24 Disember melibatkan dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 15 hingga 37 tahun.

Kamarul Zaman berkata mangsa telah dijaga oleh kakak kandungnya setelah kedua-dua ibu bapanya dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah, dan kemudian diserah kepada rakan kakaknya untuk dijaga.

Beliau berkata sehari selepas kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital, dua lelaki dan tiga wanita telah ditahan termasuk kakak mangsa dan suaminya untuk siasatan lanjut.

“Kesemua mereka ditahan oleh pihak polis antara pukul 12.00 tengah hari hingga 9.45 malam,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut merampas barangan yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa, antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal.

(FOTO HIASAN)

Kes berkenaan yang sebelum itu disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian mangsa.

Media Baharu