fb fb fb fb fb

Kanak-kanak antara lapan individu cedera dalam nahas dengan ambulans

Tangkap layar video kamera papan pemuka memaparkan insiden pelanggaran / Video orang awam

KUALA LUMPUR, 22 Disember -Lapan individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah ambulans dan beberapa kenderaan pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Usahawan 6, Setapak.

Beliau memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu berlaku ketika ambulans berkenaan melalui persimpangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

"Akibat perlanggaran itu, ambulans tersebut terbabas dan melanggar empat penunggang motosikal serta seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun yang merupakan pembonceng motosikal dan sebuah kereta lain yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat terbabit.

Seorang penunggang motosikal lelaki berumur 40 tahun mengalami kecederaan patah tulang paha kanan manakala mangsa lain termasuk kanak-kanak terbabit hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Mohd Zamzuri memaklumkan, ketika kejadian ambulans berkenaan tidak membawa pesakit dan sedang dalam perjalanan untuk mengambil pesakit di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia.

Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rakaman kamera papan pemuka kejadian itu turut tular di media sosial dan polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN