fb fb fb fb fb

Sultan Ibrahim tiba di UAE bagi lawatan khas

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, Abu Dhabi bagi memulakan lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE)/ Istana Negara

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, Abu Dhabi hari ini bagi memulakan lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda selamat mendarat pada 11.45 pagi waktu UAE, bersamaan 3.45 petang waktu tempatan.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Negara di Kementerian Luar UAE, Saeed Mubarak Al Hajeri.

Turut menyambut ketibaan baginda ialah Duta Besar Malaysia ke UAE, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.

Lawatan khas itu diadakan atas jemputan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, dan merupakan lawatan julung kali Seri Paduka Baginda ke negara berkenaan.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Hangar Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada pukul 9.00 pagi.

Lawatan Seri Paduka Baginda ke UAE dijadualkan berlangsung sehingga 24 Disember.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI