KUALA LUMPUR, 22 Disember - Filipina menyatakan kesediaannya sebagai pemudah cara atau pengantara antara Kemboja dan Thailand sebaik sahaja mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada Januari 2026.
Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina menerusi satu kenyataan memaklumkan, Menteri-Menteri Luar ASEAN telah bermesyuarat pada Isnin di Kuala Lumpur atas jemputan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi membincangkan situasi sempadan antara Kemboja dan Thailand.
"Susulan perbincangan tersebut, Filipina memaklumkan kesediaannya untuk mengambil peranan sebagai fasilitator atau pengantara antara Kemboja dan Thailand sekiranya kedua-dua pihak bersetuju memanfaatkan khidmat baik Pengerusi ASEAN, sebaik Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada Januari 2026," menurut kenyataan itu.
Filipina diwakili Setiausaha Hal Ehwal Luar, Theresa P. Lazaro yang hadir ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur.
Mesyuarat itu diadakan susulan keputusan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul pada 11 Dis lalu.
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan mempengerusikan mesyuarat itu.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Turut serta ialah beberapa Menteri Luar ASEAN lain, antaranya Sugiono (Indonesia), Thongsavanh Phomvihane (Laos), Dr Vivian Balakrishnan (Singapura) dan Bendito dos Santos Freitas (Timor-Leste).
Brunei pula diwakili Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, manakala Vietnam diwakili Timbalan Menteri Luar, Dang Hoang Giang.
Sementara itu, Myanmar menyertai mesyuarat berkenaan secara dalam talian.