REMBAU, 7 Disember - Kampung Sawah Raja di Rembau kini diangkat sebagai Kampung Angkat MADANI kedua oleh Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Kementerian Luar, selepas Kampung Kanchong di Rantau yang menerima inisiatif sama tahun lalu.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pemilihan itu membuka ruang kepada masyarakat luar bandar untuk turut menikmati limpahan pembangunan menerusi pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan dewan orang ramai, gelanggang futsal, dewan serba guna serta kerja-kerja menaik taraf masjid dan surau.
"Kami juga menyediakan lampu solar yang tidak memerlukan bekalan elektrik daripada TNB. Lampu ini dipasang pada tiang berdiri sendiri (stand-alone) dan mampu menerangi beberapa laluan di kampung, terutamanya kawasan yang sangat gelap agar dapat digunakan oleh penduduk setempat.
"Selain itu, kami turut membina jalan pintas baharu bagi memudahkan penduduk kampung serta memendekkan jarak perjalanan harian mereka," katanya selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI IDFR Kementerian Luar di sini.