KUALA LUMPUR, 23 November -Laporan penuh insiden lubang benam di Jalan Masjid India dijangka dikeluarkan dalam tempoh sebulan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) menjalankan penyiasatan terperinci di lokasi berkenaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, kajian teknikal yang sedang dijalankan merangkumi pemeriksaan struktur tanah serta utiliti yang terletak bawah laluan pejalan kaki tersebut.
Katanya, beberapa utiliti utama termasuk paip air dikenal pasti berada di kawasan berisiko dan memerlukan perhatian segera.
"Tindakan segera yang kita telah buat adalah untuk tempoh sebulan saya bagi dia untuk sediakan laporan penuh di Jalan Masjid India dan kita akan ambil tindakan segera, terutamanya mungkin kita akan lihat semula laluan penjalan kaki untuk kita letakkan bahan yang lebih kukuh untuk penjalan kaki.
"Kita akan letak "riba" untuk penjalan kaki itu supaya konkrit yang akan kita buat selepas ini akan jadi lebih kukuh,” Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri program berbasikal Kayuhan Amal Mesra Wilayah Persekutuan 2025, di sini.
Bagi memastikan keselamatan orang ramai, DBKL akan melaksanakan tindakan interim termasuk menilai semula laluan pejalan kaki, menukar bahan binaan lebih kukuh dan menambah lapisan perlindungan seperti vibar sebelum pembinaan konkrit baharu dimuktamadkan.
Jelasnya lagi, walaupun keseluruhan kajian geoteknikal melibatkan 30 kilometer laluan di sekitar pusat bandar dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan.
Keutamaan kini diberikan sepenuhnya kepada Jalan Masjid India ekoran insiden yang berlaku baru-baru ini.
Tambah beliau, laporan teknikal penuh akan menjadi asas kepada kerja pembaikan kekal sebelum tindakan susulan diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.