fb fb fb fb fb

Kajian pelaksanaan NAS untuk pengurusan alamat yang seragam

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (empat, kiri) dan Ketua Menteri Melaka bergambar selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka di antara MCMC dengan Kerajaan Negeri Melaka/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Januari- Kajian pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) sedang giat dijalankan bagi membentuk rangka sistem pengalamatan berautoritatif, seragam dan bersepadu di peringkat kebangsaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata lebih RM700 juta dibelanjakan setiap tahun untuk perkhidmatan geospatial dan navigasi utama dari luar negara.

Ketiadaan sistem alamat bersepadu juga menyebabkan ketirisan pendapatan negara kerana peningkatan risiko pengurusan maklumat infrastruktur kritikal negara.

"Kementerian Komunikasi menyedari kelompongan ini dan kepentingan pengurusan alamat yang bersepadu dalam memacu ekonomi digital negara termasuk sektor e-dagang logistik dan pembangunan bandar pintar, selaras Seksyen 57 Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741).

"MCMC diberi punca kuasa untuk membangun, mengawal, menyelenggara sistem poskod pengalamatan di Malaysia", katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Malaysia antara MCMC dengan Kerajaan Melaka.

Sementara itu, penyedia perkhidmatan Telegram telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (ASP (C)) untuk beroperasi di Malaysia.

Fahmi berkata Telegram berjaya memperoleh lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2 Januari, sekali gus menjadi platform media ketiga yang diberikan ASP (C) selepas WeChat dan TikTok.

“Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram dan WhatsApp ketika ini masih dalam proses penghantaran melibatkan beberapa dokumen, sebelum mendapatkan lesen.

"Tapi kita jangkakan proses itu dalam masa terdekat akan selesai", katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dengan Kerajaan Melaka, di sini hari ini.

Manakala, untuk pelesenan Google pula, beliau telah meminta MCMC meneruskan libat urus serta memaklumkan bahawa tindakan tetap diteruskan sekiranya terdapat perkara yang melanggar undang-undang komunikasi.

“Contohnya seperti video scam dan deepfake atau pun judi dalam talian yang dimainkan dalam YouTube, tindakan boleh diambil terhadap ketidakpatuhan dan pelanggaran undang-undang dalam negara kita.

“Undang-undang masih berkuat kuasa dan cuma kita sedang meneruskan perbincangan kerana Youtube, mereka ada pandangan yang mereka ini bukan media sosial, tapi kalau kita lihat ‘YouTube Shorts’, elemen-elemen dalam ‘YouTube Shorts’ itu mirip TikTok dan inilah antara perkara-perkara yang sedang bincang dan ia akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Bagi platform X, (sebelum ini Twitter), beliau berkata MCMC masih menguruskan perkara itu dan memerlukan sedikit masa, berikutan sebelum ini platform berkenaan memaklumkan jumlah penggunanya di negara ini tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna.

ROSLINA BINTI DIN