KUALA LUMPUR, 6 Januari – Sebanyak 180 mesyuarat utama dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dan Putrajaya sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan persediaan menyeluruh telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan.
“Persediaan ini meliputi aspek kritikal seperti keselamatan, kesihatan awam, pengurusan komuniti, dan kesiapsiagaan menghadapi bencana. Semuanya telah dilaksanakan secara menyeluruh oleh agensi-agensi berkaitan di Wilayah Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, langkah persiapan tersebut mencerminkan komitmen tinggi Wilayah Persekutuan dalam memastikan semua acara sempena Kepengerusian ASEAN berjalan lancar, selamat, dan profesional.
Terdahulu, Dr. Zaliha mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan, yang membincangkan secara terperinci persiapan bagi menjayakan penganjuran acara-acara antarabangsa.
Beliau turut menyeru semua agensi di Wilayah Persekutuan agar memberikan perhatian sepenuhnya bagi menjadikan Kepengerusian ASEAN sebagai penanda aras baharu dalam penganjuran acara bertaraf antarabangsa.