(FOTO BERNAMA)
PEKAN, 3 Julai - Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) disaran memperluaskan lagi penawaran program-program teknikal, sekali gus mempertingkatan pembukaan fakulti baharu bagi menampung kemasukan pelajar, menjelang Rancangan Malaysia ke 13 (RMK-13).
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini selaras dengan keperluan pembangunan negara yang ingin melahirkan pelajar berkemahiran industri.
Menurut beliau, pihaknya akan mengkaji keperluan menambah bilangan kemasukan pelajar dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di universiti-universiti bawah MTUN sesuai dengan keperluan semasa negara.
"Kita sekarang berasa di peringkat semakan pertengahan penggal RMK-12, maknanya selepas dua dan setengah tahun kita akan mula dalam RMK-13, saya mengharapkan univerisiti ini sudah ada perancangan untuk memperluaskan lagi tempat pengajian dan kewujudannya dalam negara maknanya sama ada dibesarkan kampus ini, dipindahkan beberapa fakulti dan memutuskan beberapa penggajian di Gambang mahupun dia nak buka cawangan cawangan kampus di tempat lain," kata Khaled selepas mengadakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini.
Tambah beliau, universiti terlibat adalah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
(Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap pada sidang media ringkas selepas
menghadiri taklimat tertutup bersama barisan pengurusan tertinggi
Universiti Malaysia Pahang (UMP)di UMP Pekan/FOTO BERNAMA)
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar universiti terlibat untuk terus meningkatkan kerjasama dengan pihak industri bagi membolehkan institusi menawarkan program yang lebih berkualiti dan relevan mengikut keperluan pasaran.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Datuk Seri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts. Dr Yuserrie Zainuddin.
Dalam perkembangan lain, UMP merupakan satu-satunya universiti dalam kategori MTUN yang menawarkan program ijazah dual dengan institusi pendidikan luar negara.
Malah, UMP turut melepasi 98% tahap kebolehpasaran graduan mendapat pekerjaan dengan lebih 20% pelajarnya menerima pendapatan sebanyak RM3,000 ke atas.