KUALA LUMPUR, 11 Februari – Prosedur keselamatan sedia ada di pusat beli-belah masih relevan, namun beberapa penambahbaikan perlu dilakukan termasuk peningkatan teknologi keselamatan sedia ada.
Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia, Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata ini termasuk latihan yang lebih komprehensif serta kerjasama erat antara pihak berkuasa dan pengurusan pusat beli-belah meskipun keselamatan di pusat beli-belah ketika ini berada dalam keadaan terkawal.
Menurut beliau, kebanyakan pusat beli-belah utama memiliki sistem pengurusan keselamatan yang tersusun dan menggunakan perkhidmatan kawalan keselamatan yang berlesen.
"Jika diamati, insiden membabitkan keselamatan diri di pusat beli-belah jarang berlaku, namun masih terdapat kes kecurian atau vandalisme yang mungkin tidak dilaporkan.
"Oleh itu, meskipun prosedur sedia ada berfungsi dengan baik, aspek teknologi keselamatan perlu diperkasakan," katanya ketika dihubungi Berita RTM baru-baru ini.
Keperluan penggunaan pengimbas logam
Mengulas cadangan penggunaan pengimbas logam di pintu masuk pusat beli-belah seperti yang dilaksanakan di Indonesia, beliau berkata, langkah keselamatan perlu berdasarkan konsep risiko yang dihadapi setiap negara.
"Kita perlu memahami ancaman yang wujud di negara-negara tersebut. Indonesia dan Filipina, misalnya, pernah mengalami insiden keganasan, menyebabkan mereka melaksanakan pemeriksaan ketat di lokasi awam seperti pusat beli-belah, hotel dan pejabat.
"Bagi Malaysia, pihak berkuasa sentiasa peka dan memantau sebarang ancaman dan akan mengeluarkan nasihat keselamatan jika keadaan memerlukan," jelasnya.
Impak kepada sektor pelancongan.
Tambah beliau, pusat beli-belah merupakan antara tarikan utama pelancong ke Malaysia.
Oleh itu, sebarang peningkatan langkah keselamatan perlu dilaksanakan secara seimbang agar tidak menjejaskan pengalaman pengunjung.
"Keselamatan adalah faktor penting bagi menarik pelancong, lebih-lebih lagi sektor ini menyumbang kira-kira 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
"Namun, tindakan kawalan ketat perlu dibuat berdasarkan tafsiran risiko yang jelas agar tidak menimbulkan persepsi negatif," katanya.
Beliau turut memberi contoh insiden pengeboman di Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 nyawa, sekali gus menjejaskan industri pelancongan Indonesia secara drastik.
Justeru, katanya pendekatan Malaysia haruslah pragmatik dan tidak menimbulkan kebimbangan yang berlebihan.
"Langkah keselamatan perlu berkesan tanpa mengganggu keselesaan pelanggan. Ini bagi memastikan kesan negatif terhadap pelancong dan pengunjung dapat diminimumkan," tambahnya.
Cabaran penyeludupan senjata api
Berhubung ancaman senjata api, beliau mengakui ia adalah cabaran besar bagi pihak berkuasa dalam menangani penyeludupan senjata api di dalam negara, ini termasuk pembelian di pasaran gelap dan secara dalam talian.
"Pengawalan senjata api perlu diperkukuhkan, terutama di pintu masuk negara serta menerusi pemantauan ketat transaksi dalam talian.
"Ini adalah satu tugas berat yang memerlukan usaha bersepadu semua agensi berkaitan, termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang baru ditubuhkan," jelasnya.
Katanya, keselamatan awam memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, sektor swasta serta masyarakat bagi memastikan langkah-langkah yang diambil berkesan dalam melindungi rakyat dan pelancong.
Pada Sabtu lalu, Berita RTM melaporkan seorang tukang cuci cedera ditembak di punggung dan kaki dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam.
Susulan kejadian itu, polis giat mengesan suspek warga tempatan berusia 30-an, yang melarikan diri dengan menumpang kenderaan orang awam.
Suspek dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli-belah itu semasa berada di aras P1.