fb fb fb fb fb

Kaji semula dasar pembangunan, P. Pinang buka ruang pandangan profesional

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 10 Disember - Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini membuka ruang kepada pandangan profesional bagi mengkaji semula dasar pembangunan di kawasan melebihi had 76 meter dari paras laut.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dasar itu sebelum ini tidak mempunyai justifikasi teknikal yang jelas.

Beliau berkata dasar yang wujud berpuluh tahun itu perlu dinilai semula, terutama apabila projek infrastruktur istimewa seperti lebuh raya pernah dibenarkan melebihi had tersebut sebelum ini.

"Di pihak kerajaan, garis panduan ini sudah wujud berpuluh tahun, tetapi kita tidak mendapat apa justifikasinya, ianya ditetapkan pada 76 meter atau 250 kaki di atas paras lautlah. Sebab melihat kepada negeri-negeri lain di Wilayah Persekutuan, misalnya, ianya ditetapkan pada 500 kaki.

"Jadi, kita pun tidak dapat makluman mengapa ianya ditetapkan pada paras 250, itu pun berpuluh-puluh tahun. Maka, ini satu cadangan.

"Sesiapa pun boleh memberi pandangan. Saya juga menyuruh pihak-pihak berkepentingan, misalnya persatuan profesional seperti institut engineer, persatuan arkitek, persatuan perancangan bandar dan sebagainya, untuk memberi pandangan terhadap apa cadangan pun, termasuk kaji semula paras ketinggian untuk membenarkan pembangunan", katanya.

Beliau menyeru semua pihak berkepentingan, terutamanya persatuan profesional seperti institut jurutera dan arkitek, untuk menyalurkan pandangan teknikal.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Bantuan Kewangan Tabung Amanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 di Komtar.

Jelasnya proses Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri (RSN) 2040 adalah peluang untuk memastikan semua cadangan mencerminkan aspirasi rakyat secara keseluruhan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, H'ng Mooi Lye, memaklumkan bahawa RSN 2040 ini dijangka akan diwartakan pada suku ketiga tahun hadapan.

H'ng Mooi Lye turut menambah, penilaian semula ini perlu kerana isu kekurangan tanah dan mengambil kira amalan di kawasan lain seperti Cameron Highlands, yang mempunyai dasar pembangunan melebihi 150 meter.

Beliau menegaskan ini bagi membolehkan negeri menilai kesesuaian pembangunan di kawasan yang permukaannya rata, walaupun berada pada paras ketinggian yang melebihi had semasa.

ROSLINA BINTI DIN