KUALA LUMPUR, 15 Januari- Sistem baharu berasaskan kod respons pantas (QR) bertujuan mempercepat proses pemeriksaan di kaunter imigresen, khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Justeru, pelaksanaan itu mampu mengurangkan kesesakan.
Menurut Pengarah Imigresen KLIA, Ibrahim Mohd Yusof, setakat ini, kira-kira 400,000 rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi MyBorderPass bagi memudahkan penggunaan sistem tersebut.
"Alhamdulilah, setakat ini berjalan lancar. Kita mohon rakyat Malaysia yang nak guna sistem ini, perlu muat turun lebih awal supaya elak kesesakan di pintu masuk nanti.
Insya-Allah, kita JIM di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) amat menggalakkan sistem ini dipakai sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. Kita menjangkakan ada kesan dan faedah terhadap kelancaran pergerakan rakyat kita di laluan pemeriksaan imigresen," kata Ibrahim kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri Kota Media.
Antara kelebihan sistem tersebut adalah proses laluan pelepasan lebih singkat dengan hanya lima hingga tujuh saat menggunakan pintu automatik konvensional berbanding 15 hingga 20 saat menggunakan perkhidmatan di kaunter imigresen sedia ada.