fb fb fb fb fb

Hakisan pantai Terengganu: Kerajaan negeri digesa ambil tindakan proaktif

Hakisan di beberapa kawasan pantai Kuala Nerus / Foto RTM

KUALA NERUS, 15 Januari-Kerajaan Terengganu digesa lebih agresif menangani masalah hakisan teruk yang berlaku di pantai sekitar Kuala Nerus.

Ini berikutan keadaan hakisan terutama di Pantai Mengabang Telipot, Pangkalan Maras dan Batu Rakit sudah berada pada tahap kritikal dan perlu ditangani segera bagi mengelak lebih banyak kerugian harta benda.

Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata kerjaaan negeri perlu mengambil langkah proaktif termasuk mendesak kerajaan pusat menyalurkan peruntukan segera bagi menangani masalah tersebut untuk jangka masa pendek dan panjang.

Sekiranya tidak ditangani segera, ia akan menyebabkan kemusnahan kepada rumah para penduduk dan infrastruktur.

"Sesuai benar kalau pihak menteri besar dan juga pihak kerajaan negeri supaya dapat memohon dengan Perdana Menteri untuk menyalurkan segera peruntukan.

"Saya rasa inilah peluang terbaik untuk menggunakan wang ehsan kita.

"Wang ehsan sekarang ini diuruskan oleh kerajaan pusat.

"Saya rasa tidak ada isu untuk gunakan wang ehsan ini", katanya demikian yang ditemui selepas meninjau kawasan hakisan di Mengabang Telipot, di sini.

Mengulas lanjut Ahmad Razif berkata kerajaan negeri boleh melihat bagaimana kejayaan projek pemecah ombak yang telah dilakukan di Pantai Seberang Takir serta pembinaan Lagon di Pantai Tok Jembal Kuala Nerus.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD